Persahabatan

Pujangga pernah berkata, persahabatan yang tidak jujur umpama meniti buih di lautan. Hamparan buih nan memutih, hanya indah di luaran namun melewatinya bererti menuju ke jurang kehancuran. Mencari sahabat sejati bukanlah mudah... ramai yang bersama berkongsi suka, namun kurang yang ingin menemani kita meniti duka.

Sahabat sejati nilainya tiada bandingan. Dia ibarat berlian yang terbenam di dasar lumpur. Meskipun berbalut kekotoran, gemerlap sinarnya terserlah jua. Sahabat sejati juga menjunjung erti setiakawan, kejujuran dan bertanggung-jawab. Sama bergembira di waktu senang, membimbing dan membantu sewaktu diri tergelincir dari batasan.

Meskipun menegur itu mungkin disalahtafsirkan, tetapi atas dasar tanggung-jawab sebagai sahabat tetap diteruskannya juga. Sahabat sejati tidak semestinya perlu berada di sisi kita setiap masa. Mungkin dalam setahun, pertemuan dengannya boleh dihitung dengan jari. Namun, hubungan dalaman yang erat terjalin sebati di dalam jiwa. Biarpun jauh, nilai persahabatan yang sedemikian akan tergenggam erat dalam diari ingatan.

Menurut Imam Ghazali, persahabatan itu harus dilandaskan dengan jiwa yang bersih. Malah, Rasulullah S.A.W pernah bersabda, "Tidak sempurna iman kamu jika kamu tidak mengasihi kawan lebih daripada kamu mengasihi diri sendiri".

Begitulah besarnya pengertian persahabatan dalam Islam bersandarkan konsep persaudaraan. Justeru itu, marilah kita bersama-sama merenung dan mengamalkan hak-hak persaudaraan dan persahabatan seperti yang digariskan di dalam Kitab Bimbingan Mukminin - Imam Ghazali.

1) Hak dalam harta

Dalam sebuah hadith ada disebutkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud, "Perumpamaan dua orang saudara adalah seperti dua tangan yang satu membersihkan yang lainnya" - H.R Dailami.

Hadith ini menyebutkan bahawa dalam persahabatan itu perlu ada saling bantu membantu dalam menunaikan tujuan yang satu. Tujuan yang utama itu ialah bahawa kita sebagai sahabat perlu memberikan sahamnya secara bersama-sama baik dalam keadaan suka dan duka, gembira dan sengsara.

2) Hak dalam memberi pertolongan

Apabila seorang kawan berhajatkan bantuan dan kita pula mampu untuk menolongnya, bantulah dia dengan disertai wajah yang manis, ramah tamah, ikhlas dan air muka yang gembira untuk menunjukkan bahawa kita suka apabila sahabat kita itu meminta bantuan daripada kita.

Seorang ulama pernah berkata, "Perhatikanlah saudara-saudaramu itu dalam 3 persoalan iaitu jikalau ada yang sakit, tinjaulah dan jikalau ada yang dalam kesibukan, berikanlah pertolongan dan jika ada yang dalam kealphaan, maka peringatkanlah ia."

Dalam hal ini Allah Taala ada berfirman, "Orang-orang mukmin ialah yang saling kasih-mengasihi antara sesama mereka itu." Ayatullah ini menunjukkan supaya kita saling sayang menyayangi dan kasih mengasihi dengan sahabat-sahabat kita.

3) Hak dalam lidah dan hati

Ada dua perkara iaitu berdiam diri dan berkata-kata. Berdiam diri maksudnya, sebagai seorang sahabat yang baik seharusnya kita tidak boleh bercakap-cakap tentang keaiban sahabat, bahkan perintah menutup aib orang lain juga perlu dipraktikkan kepada seluruh umat manusia. Sebagai sahabat tidak elok menyebarkan keburukan sahabat baik semasa sahabat berada di depan ataupun tidak. Dan jika sahabat itu bercerita kepada kita tentang rahsianya, tidak wajarlah kita menceritakan kepada sahabat-sahabat yang lain pula.

Sabda Rasulullah s.a.w, "Barangsiapa yang menutup cela saudaranya, maka Allah Ta’ala akan menutupi celanya di dunia dan akhirat."

Riwayat Ibnu Majah. Dalam riwayat lain ada menyebutkan; Sabda Rasulullah, "Dua orang yang duduk bercakap-cakap itu harus disertai dengan amanat. Tidak halal salah seorang di antara keduanya itu menyiarkan mengenai saudaranya itu akan sesuatu yang tidak disenangi olehnya." - H.R Hakim.

Sebaliknya pula jika ada perkara baik atau pujian sampaikanlah berita-berita gembira pada sahabat itu. Rasulullah pernah bersabda, "Mohonlah perlindungan Allah daripada tetangga yang jahat, apabila melihat kebaikan orang lain ia selalu menutupinya dan apabila ia nampak keburukan, ia selalu menampak-nampakkannya." - H.R Bukhari.

Dengan berkata-kata pula, ialah saling nasihat-menasihati, mengenali dengan lebih mendalam lagi sahabat-sahabat dengan cara berkomunikasi.

Sabda Rasulullah s.a.w, "Apabila seseorang dari kamu semua mencintai saudaranya, hendaklah memberitahukan hal itu kepadanya." - H.R Abu Dawud,Tirmidzi dan Hakim.

Maknanya di sini... kita beritahulah kepada sahabat kita yang kita menyukainya agar selepas itu sahabat akan lebih sayang kepada kita. Selain itu, salah satu cara menunaikan hak sahabat ialah memanggilnya dengan gelaran yang paling disukai oleh sahabat itu. Ini akan lebih menggembirakannya.

Umar r.a pernah berkata, "Ada 3 perkara yang dapat menjernihkan kamu mengenai kecintaanmu kepada saudara-saudaramu iaitu, engkau mendahului mengucapkan salam sewaktu bertemu dengannya, hendaknya engkau memberikan ruang tempat duduk untuknya di dalam majlis dan hendaklah kau panggil ia dengan nama yang paling disukainya."

4) Hak dalam memberi kemaafan

Memaafkan saudara adalah satu perbuatan mulia, baik kesalahan itu dilakukan secara sengaja ataupun tidak. Jika kesalahan sahabat itu bertentangan dengan agama, wajiblah menasihatinya dengan ramah dan lemah lembut.

Seorang ulama pernah berkata, "Kemuliaan hati ialah dengan jalan memberi maaf kepada kesalahan-kesalahan sahabat-sahabat kamu."

5) Hak dalam mendoakan

Mendoakan sahabat baik semasa hayatnya ataupun matinya. Doakanlah kesejahteraan dan kejayaan saudara-saudara sebagaimana kita mendoakan untuk diri kita sendiri.

Sabda Rasulullah s.a.w, "Apabila seorang itu mendoakan untuk saudaranya di kala tidak berhadapan dengannya, maka berkatalah malaikat, Kamu pun menerima sebagaimana doamu itu." - H.R Muslim.

Wallahua’lam...

Friday, June 8, 2012

0 Comments:

 
B L U E R O S E - Wordpress Themes is proudly powered by WordPress and themed by Mukkamu Templates Novo Blogger